fb fb fb fb fb

Kes kematian bayi beku, satu laporan polis diterima - PDRM

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 13 Disember- Satu laporan diterima Polis Kontinjen Selangor, hari ini berhubung kes kematian bayi di sebuah hospital swasta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataan memaklumkan laporan tersebut dibuat oleh bapa bayi tersebut di IPD Klang Selatan.

"Sehubungan itu, laporan polis tersebut telah diklasifikasikan bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).

Pihak IPD Klang Selatan sedang menjalankan siasatan secara mendalam untuk menentukan sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah dalam isu ini serta menangani perkara ini dengan sebaik mungkin," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, mereka yang berkaitan akan dipanggil untuk rakaman percakapan termasuk pihak hospital.

Polis turut menegaskan agar pengguna media sosial tidak menyebarkan kandungan tidak sahih sehingga mengakibatkan kegusaran awam.

"PDRM menegaskan bahawa dakwaan yang tidak disahkan boleh berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan memberi peringatan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform itu," jelas kenyataan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM