fb fb fb fb fb

Kes demam denggi berkurangan, tiada kematian dilaporkan

FOTO FAIL

PUTRAJAYA, 23 September - Jumlah kes demam denggi menurun kepada 1,794 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 37 iaitu bagi tempoh 8 hingga 14 September berbanding 1,870 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME 37 sebanyak 100,236 kes berbanding 84,865 bagi tempoh sama 2023.

Bilangan lokaliti ‘hotspot’ yang dilaporkan sebanyak 43 lokaliti berbanding 53 pada minggu sebelumnya.

"Daripada 43 lokaliti yang dilaporkan, 32 lokaliti di Selangor, tiga masing-masing di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Perak, dua masing-masing di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala satu di Kelantan.

"Bagi survelan chikungunya, tiada kes dan wabak direkodkan serta jumlah kumulatif kes sehingga kini ialah 72," katanya menerusi kenyataan itu.

Survelan zika pula sebanyak 1,934 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan dan semua keputusan negatif.

Beliau berkata bagi memastikan pengesanan awal dapat dibuat, semua kes disyaki denggi akan dijalankan ujian pengesahan demam denggi menggunakan kit ujian pantas combo yang keputusan boleh diperoleh dalam masa 20 hingga 30 minit.

Pengesanan dan rawatan awal dapat mengelakkan kematian akibat komplikasi demam denggi.

TETITIA YUSOFF