
MELAKA, 20 Oktober– Kes jangkitan saluran pernafasan atas dan asma berkaitan jerebu di Melaka menunjukkan penurunan bagi Minggu Epidemiologi ke-40 dan ke-41.
- Maklumat berdasarkan pemantauan di empat fasiliti sentinel terpilih di Melaka.
- Kes jangkitan saluran pernafasan atas turun 10.1% kepada 737; kes asma turun 15.5% kepada 131.
- Jabatan Kesihatan negeri menasihatkan kurangkan aktiviti luar, pakai pelitup muka, dan semak bacaan Indeks Pencemar Udara.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, maklumat itu berdasarkan pemantauan di empat fasiliti sentinel terpilih di negeri berkenaan.
“Kes jangkitan saluran pernafasan atas menurun 10.1 peratus kepada 737 kes berbanding 820 kes pada minggu sebelumnya.
“Kes asma turut mencatat penurunan 15.5 peratus kepada 131 kes berbanding 155 kes sebelum ini,” katanya.
Bagi kes radang mata pula, ia menunjukkan sedikit peningkatan kepada 13 kes berbanding 12 kes.
Jabatan Kesihatan Negeri akan terus memperkukuh pemantauan, selain menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka dan menyemak bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) secara berkala.