
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) yang berkuat kuasa 1 Oktober lalu bakal memperkukuh kebebasan institusi Parlimen melalui pengurusan pentadbiran dan perkhidmatan sendiri.
- Perkhidmatan khusus Parlimen membolehkan kakitangan membina pengalaman dan kepakaran lebih mendalam dalam urusan badan perundangan.
- Kakitangan Parlimen tidak tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam, memberi autonomi pengurusan sumber manusia dan perkhidmatan.
- Parlimen dapat menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada ahli Dewan Rakyat sebagai anggota badan perundangan.
- Keberkesanan pelaksanaan bergantung pada komitmen wakil rakyat, pengurusan Parlimen serta pematuhan etika dan usaha mencegah konflik kepentingan.
Pakar perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, akta itu membolehkan Parlimen mengurus hal ehwal pentadbiran, sumber manusia serta perkhidmatannya tanpa bergantung sepenuhnya kepada struktur perkhidmatan awam sedia ada.
Menurutnya, pewujudan perkhidmatan khusus Parlimen juga membolehkan kakitangan membina pengalaman dan kepakaran lebih mendalam dalam urusan badan perundangan berkenaan.
“Parlimen boleh memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada semua ahli Dewan Rakyat sebagai anggota badan perundangan.
“Dengan adanya akta ini, Parlimen mempunyai perkhidmatannya sendiri, bermaksud kakitangan Parlimen tidak tertakluk di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya ketika ditemu bual selepas program Bicara Naratif terbitan RTM, di sini.
Bagaimanapun, Prof Datuk Dr Shamrahayu berkata, keberkesanan pelaksanaan akta itu turut bergantung pada komitmen wakil rakyat dan pengurusan Parlimen dalam memahami serta mempertahan kebebasan institusi berkenaan.
Katanya, aspek etika termasuk usaha mengelakkan konflik kepentingan juga perlu diberi perhatian bagi memastikan matlamat Akta 869 dapat dilaksanakan secara berkesan.