
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyeru kerjasama pihak swasta bagi memperkukuh industri batik negara agar terus berdaya saing di peringkat global.
- Menjemput sektor swasta berkongsi pandangan untuk menaik taraf pusat kraftangan kepada hab moden, interaktif dan berdaya saing.
- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia menyokong pembangunan pengusaha batik melalui program usahawan, latihan kemahiran, pembangunan produk serta promosi dan pemasaran.
- Ditawarkan pembiayaan sehingga RM100,000 melalui Skim Pembiayaan Usahawan Kraf, kadar keuntungan dua peratus dan tempoh bayaran balik hingga 10 tahun.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata kerjasama semua pihak diperlukan dalam memastikan kesenian tradisional itu kekal terpelihara.
“Mengenai batik serat nanas, itulah yang saya persoalkan. Kita hendak menjemput sektor swasta untuk bersama-sama berkongsi pandangan dan membincangkan bagaimana kita boleh membantu menaik taraf pusat-pusat kraf tangan menjadi hab yang lebih moden, lebih interaktif dan berdaya saing untuk industri batik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan di Parlimen hari ini.
Selain itu, menurutnya, menerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, pihaknya sentiasa menyokong pembangunan pengusaha kraf tangan di seluruh negara, termasuk pengusaha batik, melalui pelaksanaan program pembangunan usahawan, peningkatan kemahiran, pembangunan produk serta promosi dan pemasaran.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan pembiayaan sehingga RM100,000 ditawarakan menerusi Skim Pembiayaan Usahawan Kraf bagi pembelian peralatan dan mesin dengan kadar keuntungan dua peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 10 tahun.