Pelabuhan Pulau Carey perkukuh Malaysia sebagai hab maritim Asia Tenggara

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pembangunan Pelabuhan Pulau Carey dijangka bakal menjadi pemangkin memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab maritim utama di rantau Asia Tenggara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek dibangunkan melalui kerjasama awam swasta sebagai perancangan strategik jangka panjang meningkatkan kapasiti pelabuhan dan daya tahan rantaian bekalan.
  • Pelabuhan Pulau Carey menambah kapasiti Port Klang menjadi megaport bersama Northport dan Westport, mengukuhkan peranan pusat maritim serantau.
  • Pembangunan dilaksanakan berfasa selama hampir 20 tahun, disesuaikan mengikut permintaan dan kapasiti yang dapat ditampung.
  • Pelabuhan Klang mengendalikan 15.14 juta TEU pada 2025; PTP mengendalikan 14.03 juta TEU, menandakan prestasi kontena kukuh.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata projek mega yang dibangunkan menerusi kerjasama awam dan swasta itu merupakan perancangan jangka panjang strategik bagi meningkatkan kapasiti pelabuhan negara dan daya tahan rantaian bekalan.

Ia sekali gus, menyokong pertumbuhan ekonomi dan industri berkenaan pada masa hadapan.

“Apabila kita membina pelabuhan Pulau Carey ini, ia akan menjadikan Pelabuhan Klang kita merupakan satu megaport.

“Sekarang pun sudah pelabuhan yang besar dengan ada Northport ada Westport, tetapi pertambahan Westport tambah pula lagi dengan Pelabuhan Pulau Carey sudah tentu Port Klang akan menjadi satu pusat maritim yang utama dalam rantau Asia Tenggara.

“Jadi, ini merupakan satu perancangan jangka panjang yang sangat penting untuk negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pelabuhan ASEAN & Logisitik di ibu negara.

Anthony Loke turut memaklumkan pembangunan Pelabuhan Pulau Carey akan dilaksanakan secara berfasa dengan pengaplikasian teknologi pintar bagi meningkatkan kecekapan operasi.

“Kita akan mulakan projek ini tidak lama lagi dan dia akan mengambil beberapa fasa. Kalau keseluruhan fasa itu mengambil masa hampir 20 tahun untuk dibina.

“Ia akan melibatkan pelbagai fasa jadi sudah tentu satu projek mega seperti ini, dia tak boleh dibina sekaligus. Ada fasa-fasa dan melihat kepada permintaan dan juga kapasiti yang akan kita dapat tampung,” katanya.

Dalam sidang media sama, beliau memaklumkan Pelabuhan Klang merekodkan pengendalian 15.14 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2025, sekali gus berjaya mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 10 pelabuhan kontena paling sibuk di dunia untuk tahun kedua berturut-turut.

Manakala, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pula mengendalikan 14.03 juta TEU dan merupakan terminal kontena tunggal pertama di Malaysia yang melepasi paras 14 juta TEU.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.