
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Usaha memperluas rangkaian infrastruktur kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara dipergiat dengan sasaran menyediakan 30,000 stesen pengecas EV menjelang 2030 bagi menyokong pertumbuhan penggunaan EV serta pembangunan industri automotif negara.
- Kerajaan akui kemudahan pengecas EV masih tidak mencukupi dan mengambil pelbagai langkah untuk mempercepat pembangunan ekosistem.
- Kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membina pencawang elektrik bagi memastikan bekalan kuasa mencukupi sebelum stesen pengecas baru.
- Kerajaan memperhalusi insentif kepada pengendali stesen pengecas bagi menggalakkan pelaburan, sambil menyelaraskan dasar dan kerjasama pelbagai pihak.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata, kerajaan mengakui jumlah kemudahan pengecas EV ketika ini masih belum mencukupi dan sedang mengambil pelbagai langkah untuk mempercepat pembangunan ekosistem berkenaan.
“Antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membangunkan lebih banyak pencawang elektrik untuk memastikan bekalan kuasa mencukupi sebelum stesen pengecas baharu dapat dibina,” katanya di Dewan Rakyat.
Tambahnya, kerajaan juga sedang memperhalusi pemberian insentif kepada pengendali stesen pengecas (Charging point operators atau CPO) bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam pembinaan kemudahan pengecas EV di seluruh negara.
“Pembinaan stesen pengecas memerlukan bekalan kuasa yang mencukupi. Sebab itu pembangunan pencawang elektrik perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum lebih banyak stesen pengecas dapat diwujudkan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan pembangunan ekosistem EV memerlukan masa kerana melibatkan penyelarasan dasar, insentif serta kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, namun kerajaan komited mempercepat usaha berkenaan bagi memenuhi keperluan pengguna.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan, ahli parlimen Kubang Pasu, di Dewan Rakyat.