PM Thailand adakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula esok

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 Julai – Perdana Menteri Thailand, TYT Anutin Charnvirakul akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula 9 hingga 10 Julai ini, sekali gus akan menjadi kunjungan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri pada Mac lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lawatan rasmi atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Ketibaan diiringi isteri, anggota Jemaah Menteri dan pegawai kanan Kerajaan Thailand.
  • Majlis sambutan rasmi di Kompleks Bunga Raya diikuti pertemuan dua hala menilai hubungan dan bincang kerjasama pelbagai bidang.
  • Majlis tandatangan MoU pertanian; lawatan ke Bukit Kayu Hitam untuk perasmian jalan baharu menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao.

Kunjungan rasmi TYT Anutin atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketibaan TYT Anutin akan diiringi isteri beliau, Puan Thananon Niramit, anggota Jemaah Menteri serta pegawai kanan Kerajaan Thailand.

Majlis sambutan rasmi dijadual berlangsung di Kompleks Bunga Raya, sebelum sesi pertemuan dua hala bersama Datuk Seri Anwar diadakan.

Kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan Malaysia-Thailand dan membincangkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan, keselamatan, kesaling hubungan sempadan, pertanian, pelancongan, pendidikan serta hubungan antara rakyat.

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut dijangka saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa dalam kerangka ASEAN, serta mekanisme lain.

Dalam pertemuan Datuk Seri Anwar bersama TYT Anutin itu, akan turut berlangsung majlis menandatangani dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertanian yang mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh sektor tersebut.

Seterusnya, pada 10 Julai 2026, kedua-dua pemimpin akan membuat lawatan ke Bukit Kayu Hitam, Kedah bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Jalan Baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.

Lawatan tersebut sebahagian daripada siri pertukaran lawatan selepas Datuk Seri Anwar berkunjung ke Thailand pada April 2025, serta lawatan rasmi bekas Perdana Menteri Thailand ke Malaysia pada Disember 2024, sekali gus mencerminkan persahabatan erat antara kedua-dua negara jiran serta negara anggota ASEAN.

Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global, dan kedua terbesar dalam kalangan ASEAN pada 2025 dengan jumlah dagangan RM118.57 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, jumlah dagangan dua hala mencecah RM31.33 bilion, berbanding RM27.35 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.