Kerjasama dengan Rusia dan Turkmenistan perkukuh jaminan bekalan tenaga

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perasmian Majlis Pecah Tanah Setia Fontaines Industrial Park/Foto BERNAMA 

KEPALA BATAS, 20 Jun – Kerjasama strategik dengan Rusia dan Turkmenistan bakal memperkukuh jaminan bekalan tenaga negara untuk tempoh yang lama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Rusia memberikan jaminan perjanjian jangka panjang bagi pembekalan minyak, gas dan diesel kepada Malaysia sekurang-kurangnya 20 tahun.
  • Turkmenistan memiliki telaga gas dan minyak sangat besar dari Ashgabat ke Laut Caspian, membuka akses sumber tenaga penting.
  • Lawatan rasmi ke Turkmenistan meluluskan akses baharu sektor minyak dan gas kepada Malaysia.
  • Akses kepada simpanan gas besar menjamin keperluan tenaga negara untuk puluhan tahun dan peluang tingkatkan eksport kepada China, Jepun, Korea.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Presiden Rusia Vladimir Putin telah memberikan jaminan terhadap perjanjian jangka panjang bagi pembekalan minyak, gas dan diesel kepada Malaysia untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.

“Presiden Vladimir Putin memberi jaminan supaya ada perjanjian jangka panjang supaya bekalan minyak, gas dan diesel kepada Malaysia terselamat untuk kurang dari 20 tahun.

“Turkmenistan pula mempunyai telaga gas dan minyak yang sangat besar dari Ashgabat sehingga ke Laut Caspian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Setia Fontaines Industrial Park di sini hari ini.

Jelasnya, lawatan rasmi ke Turkmenistan baru-baru ini membawa perkembangan lebih besar apabila negara Asia Tengah itu meluluskan akses baharu kepada Malaysia dalam sektor minyak dan gas.

Beliau berkata perkembangan itu membuka peluang kepada negara untuk memperoleh akses kepada antara simpanan gas terbesar di dunia, menjamin keperluan tenaga negara untuk tempoh jangka panjang.

“Malaysia memperoleh akses kepada simpanan gas yang antara terbesar di dunia. Maknanya keperluan kita terjamin, Insya-Allah, untuk puluhan tahun.

“Kita juga boleh menggunakannya untuk meningkatkan eksport ke negara rakan terutama China, Jepun dan Korea yang mempunyai keperluan tenaga tinggi,” kata beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.