MAIWP realisasikan impian keluarga asnaf miliki rumah sendiri di Labuan

Rafizam Mat Salleh menerima sebuah rumah bantuan bernilai RM100,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kampung Sungai Labu, Labuan / foto RTM

LABUAN, 20 Jun – Penantian sebuah keluarga asnaf untuk memiliki kediaman sendiri berakhir apabila menerima rumah bantuan bernilai RM100,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kampung Sungai Labu, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rafizam, seorang buruh kasar, tinggal bersama isteri tidak bekerja dan empat anak; sebelum ini hanya menumpang serta membina sebuah bilik.
  • Beliau sangat bersyukur dan mengucap terima kasih kepada para pembayar zakat atas sokongan membolehkan keluarga memperoleh kediaman lebih selesa.
  • MAIWP komited memperkasa kebajikan asnaf di Labuan agar mereka menikmati kehidupan lebih sejahtera dan dapat mengamalkan ajaran Islam dalam suasana aman.
  • Dalam Jelajah Ziarah Asnaf, MAIWP meluluskan RM177,000 untuk tiga keluarga; sehingga Mei lima rumah (RM600,000) dan 16 pembaikan turut diluluskan.

Penerima bantuan, Rafizam Mat Salleh, hanya bekerja sebagai buruh kasar di sebuah syarikat swasta. Dia sebelum ini hanya mampu menumpang dan membina sebuah bilik di rumah mentuanya menggunakan wang pengeluaran i-Sinar.

Rafizam menetap bersama isteri yang tidak bekerja serta empat orang anak berusia antara satu hingga 13 tahun.

Menurut Rafizam, beliau amat bersyukur apabila dimaklumkan permohonannya untuk mendapatkan bantuan pembinaan rumah diluluskan MAIWP.

“Apabila saya menerima panggilan memaklumkan permohonan bina rumah diluluskan, perasaan saya sukar digambarkan dengan kata-kata. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para pembayar zakat. Hasil sumbangan zakat yang disalurkan membolehkan saya dan keluarga memiliki tempat tinggal yang lebih selesa,” katanya.

Simbolik penyerahan rumah bantuan itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.

Beliau berkata, MAIWP komited memastikan kebajikan golongan asnaf di Labuan terus diperkasakan agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera dan sempurna.

“Sebagaimana di Kuala Lumpur, matlamat kami di Labuan adalah untuk memastikan golongan asnaf dan mereka yang memerlukan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik, selesa dan sejahtera.

“Kami mahu mereka dapat mengamalkan ajaran Islam dalam suasana yang aman serta mempunyai kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.

Dalam program Jelajah Ziarah Asnaf sekitar Labuan itu, MAIWP turut meluluskan bantuan berjumlah RM177,000 kepada tiga keluarga yang memerlukan.

Sehingga Mei tahun ini, MAIWP telah meluluskan pembinaan lima buah rumah bantuan di Labuan membabitkan peruntukan sebanyak RM600,000. Selain itu, sebanyak 16 permohonan Bantuan Baiki Rumah turut diluluskan dengan nilai keseluruhan melebihi RM540,000.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.