
BUTTERWORTH, 20 Jun- Kerajaan akan meneruskan Dana Inovasi Media bagi menyokong inovasi dan transformasi digital industri media yang setakat ini menyaksikan RM24.57 juta telah disalurkan kepada 72 syarikat media.
- Kerajaan meneruskan Dana Inovasi Media untuk menyokong inovasi dan transformasi digital industri media.
- Dana diwujudkan bagi memastikan organisasi media tempatan menerima sokongan menyesuaikan operasi dengan perkembangan teknologi.
- Usaha ini penting untuk memastikan industri media kekal mampan dan memenuhi keperluan penyampaian maklumat yang berkembang.
- Kerajaan akan terus menyediakan sokongan sewajarnya bagi menghadapi perubahan teknologi dan cabaran baru ekosistem penyampaian berita.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dana berkenaan diwujudkan bagi memastikan organisasi media tempatan menerima sokongan diperlukan untuk menyesuaikan operasi dengan perkembangan teknologi serta perubahan landskap industri.
Menurut beliau, usaha itu penting bagi memastikan industri media kekal mampan selain mampu memenuhi keperluan penyampaian maklumat yang semakin berkembang.
“Kerajaan bersetuju untuk meneruskan peruntukan Dana Inovasi Media bagi membantu organisasi media negara melaksanakan inovasi dan pengukuhan operasi transformasi digital industri media.
“Setakat ini sebanyak 72 syarikat media menerima pembiayaan keseluruhannya berjumlah RM24.57 juta daripada Dana Inovasi Media fasa satu hingga fasa lima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@ Arena Butterworth di sini hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata kerajaan akan terus menyediakan sokongan sewajarnya kepada industri media termasuk dalam menghadapi perubahan teknologi serta cabaran baharu ekosistem penyampaian berita.
Katanya, sokongan berkenaan penting bagi memastikan media tempatan terus memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat tepat, berkualiti dan relevan kepada masyarakat.