Kelantan FM raikan 80 tahun RTM bersama 5,000 pengunjung

Acara seloka bersahut di dewan utama Pulau Seri Tanjung sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-80 RTM/Facebook: KELANTANfm
KOTA BHARU, 20 Jun- Hampir 5,000 pengunjung membanjiri Pulau Sri Tanjung di sini bagi memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Ke-80 Radio Televisyen Malaysia (RTM) peringkat Kelantan FM yang berlangsung dengan pelbagai pengisian menarik hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelbagai aktiviti termasuk konvoi bot, pelepasan ikan tilapia, rakaman seloka bersahut dan acara sukaneka melibatkan penduduk setempat.
  • Angka lapan dan 80 dijadikan simbolik sambutan ulang tahun ke-80 RTM tahun ini.
  • Timbalan Pengarah Kelantan FM menegaskan penganjuran manifestasi penghargaan RTM kepada pendengar dan perancangan akan diteruskan.
  • Program diselitkan CSR dengan sumbangan kepada tiga keluarga kurang bernasib baik, penerima menyatakan penghargaan dan terharu.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program antaranya konvoi lapan buah bot, pelepasan 80 ekor anak ikan, rakaman seloka bersahut serta acara sukaneka yang melibatkan penyertaan penduduk setempat.

Angka lapan dan 80 dipilih sebagai simbolik sambutan ulang tahun ke-80 RTM tahun ini.

Timbalan Pengarah Penyiaran Kelantan FM, Muhammad Aiman Yusoff berkata, penganjuran program itu merupakan manifestasi penghargaan RTM kepada para pendengar yang sentiasa memberi sokongan kepada stesen penyiaran awam itu sejak sekian lama.

“Untuk program seperti ini kita tidak akan berhenti di sini. Sudah pasti akan ada perancangan yang RTM Kelantan akan laksanakan kerana tanpa pendengar tiadalah RTM Kelantan dan kita sentiasa meraikan pendengar kita walau di mana jua mereka berada,” katanya.

Program itu turut diselitkan dengan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi penyampaian sumbangan kepada tiga keluarga kurang bernasib baik di pulau berkenaan.

Salah seorang penerima, Hayati Hassan menzahirkan penghargaan atas sumbangan yang diterima serta keprihatinan pihak yang hadir membantu keluarganya.

“Ramai orang datang rumah saya. Terima kasih banyak,” katanya.

Seorang lagi penerima, Siti Fatimah Daud berkata, beliau terharu dengan bantuan yang diberikan serta menghargai kesudian pihak terlibat hadir ke pulau berkenaan.

“Terharu sangat-sangat. Terima kasih banyak kepada yang memberi sumbangan, sudi datang dan membantu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MK Curtain, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata penglibatan pihaknya dalam program itu merupakan sebahagian usaha untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Kita melihat aspek nilai kemanusiaan dan keprihatinan kepada masyarakat. Usaha seperti ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial yang dilaksanakan pihak kami, bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di negeri-negeri lain yang mempunyai cawangan,” katanya.

Program Sambutan Ulang Tahun Ke-80 RTM peringkat Kelantan FM dijayakan bersama rakan strategik iaitu Agrobank, NESQ, MK Curtain, Konsortium E-Mutiara, Humairah dan JM Automobil.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.