Malaysia berhasrat jalin kerjasama lebih erat dengan media Timor-Leste

Foto BERNAMA

BUTTERWORTH, 20 Jun – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berhasrat untuk meningkatkan kerjasama media dengan Timor-Leste menerusi agensi-agensinya termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan menjadikan IPPTAR tuan rumah sesi latihan untuk wartawan-wartawan dari Timor-Leste.
  • Perbincangan mengenai kedudukan Timor-Leste dalam Indeks Kebebasan Media RSF, tertinggi di Asia Tenggara dan ke-30 dunia.
  • Fahmi menyatakan Kerajaan Madani giat mempertingkat usaha, dasar dan inisiatif bagi memperbaiki kedudukan media Malaysia.
  • Pertemuan sempena Hari Wartawan Nasional 2026 disertai delegasi TATOLI serta pegawai kanan Kementerian dan Bernama.

Hasrat tersebut katanya disampaikan melalui pertemuan bersama dengan delegasi Timor-Leste, yang diketuai Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste, Expedito Loro Dias Ximenes.

“Saya juga ada mencadangkan supaya Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) menjadi tuan rumah untuk sesi latihan wartawan-wartawan dari Timor-Leste,” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi pertemuan tersebut yang diadakan bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini.

Sesi pertemuan itu turut disertai Presiden agensi berita Timor-Leste, Agência Noticiosa de Timor-Leste (TATOLI) Noémio Mateus Soares Falcão dan Timbalannya Madalena DE JCP Carlos.

Selain itu, Datuk Fahmi bersama rakan sejawatnya, Ximenes, turut bertukar pandangan mengenai kedudukan Timor-Leste dalam Indeks Kebebasan Media Dunia, yang dikeluarkan oleh ‘Reporters Without Borders’ (RSF) yang tertinggi di Asia Tenggara dan ke-30 daripada 180 negara.

“Saya juga ada menyampaikan pandangan bagaimana Timor-Leste boleh berada pada kedudukan indeks RSF yang sangat tinggi, Timor-Leste berada di kedudukan nombor satu di Asia Tenggara, manakala Malaysia di kedudukan kedua,” ujar beliau.

Katanya lagi, Kerajaan Madani juga meningkatkan usaha, dasar dan inisiatif bagi menambah baik kedudukan tersebut.

“Walaupun bagi Kerajaan MADANI dalam tempoh tiga empat tahun kebelakangan ini, kedudukan Malaysia jauh lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum Kerajaan MADANI.

Namun kita lihat ada ruang untuk kita tambah baik usaha, dasar, inisiatif untuk meningkatkan dalam tangga Indeks Kebebasan Media RSF,” katanya.

Turut sama dalam pertemuan itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil; Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ashwad Ismail dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai; dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.