Lawatan PM ke Turkmenistan perkukuh keselamatan tenaga negara – Pakar

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov pada majlis pertukaran dokumen penting/ Facebook: Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan disifatkan sebagai langkah strategik untuk memperkukuh keselamatan tenaga negara dan meneroka peluang ekonomi baharu dalam pasaran Asia Tengah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Turkmenistan berpotensi besar dalam tenaga, khususnya gas asli, untuk diperkukuh melalui kerjasama lebih erat dengan Malaysia.
  • Nilai dagangan dua hala sekitar RM75 juta setahun menunjukkan ruang besar untuk dipertingkatkan melalui pelaburan dan perdagangan aktif.
  • Kehadiran Petronas sejak 1996 dan pelaburan dianggarkan RM52.73 bilion mencerminkan keyakinan terhadap sektor tenaga Turkmenistan.
  • Pertukaran tiga MoU dan satu perjanjian dijangka memperkukuh hubungan dua hala serta membuka peluang perdagangan, pelaburan dan pembangunan industri tenaga.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata lawatan itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk mempelbagaikan kerjasama dalam sektor tenaga yang menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut beliau, Turkmenistan mempunyai potensi besar dalam industri tenaga global, khususnya gas asli, yang boleh diteroka menerusi kerjasama lebih erat dengan Malaysia.

“Nilai dagangan dua hala yang kini menghampiri RM75 juta setahun menunjukkan masih terdapat ruang besar untuk dipertingkatkan melalui pelaburan dan perdagangan yang lebih aktif,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Beliau berkata kehadiran Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di Turkmenistan sejak 1996 membuktikan keyakinan Malaysia terhadap potensi sektor tenaga negara Asia Tengah itu dengan pelaburan dianggarkan mencecah RM52.73 bilion.

Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad, Pensyarah Kanan Ekonomi UiTM Cawangan Negeri Sembilan

Katanya, komitmen berterusan Petronas untuk mengembangkan kerjasama di negara berkenaan dijangka memberi manfaat ekonomi kepada kedua-dua pihak selain memperkukuh hubungan dua hala.

“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, hubungan lebih erat antara Malaysia dan Turkmenistan mampu memperkukuh kestabilan sektor tenaga serta menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Dr Bashir Ahmad turut berpandangan bahawa lawatan tersebut berpotensi membuka peluang kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan industri berkaitan tenaga yang dapat memberi nilai tambah kepada ekonomi negara.

Terdahulu, lawatan rasmi dua hari bermula 18 Jun itu merupakan kunjungan pertama Datuk Seri Anwar ke Turkmenistan sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022 atas jemputan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov.

Sempena lawatan berkenaan, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran dokumen membabitkan tiga memorandum persefahaman (MoU) dan satu perjanjian yang dijangka memperkukuh lagi hubungan Malaysia-Turkmenistan serta kerjasama dalam pelbagai sektor strategik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.