fb fb fb fb fb

Kerja pembersihan awam beralih ke waktu malam

Foto fail

PUTRAJAYA, 8 Ogos – Kerja pembersihan awam akan dipindahkan ke waktu malam bagi mengurangkan gangguan lalu lintas dan mewujudkan persekitaran kerja lebih selesa untuk petugas kebersihan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu sebahagian agenda reformasi bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperkukuh pengurusan pembersihan awam dan sisa negara.

Pada masa sama, kementerian akan memperkenalkan kenderaan pengangkut sampah elektrik (EV) secara berperingkat melalui program SWCOP mulai tahun ini.

“Pelaksanaan EV untuk kenderaan pengangkut sampah akan bermula tahun ini bagi menyokong sasaran negara mencapai ekonomi karbon sifar menjelang 2035.

Ia juga inisiatif memperkenal proses pembersihan yang lebih intensif dan menyeluruh,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Majlis Semarak Jiwa Merdeka @ KPKT 2025 di sini.

Tambah beliau, KPKT turut memperkenal teknologi deep cleansing menggunakan water jet, serta menambah kekerapan kutipan sampah kepada empat kali seminggu bermula di lokasi tumpuan pelancong sekitar ibu negara.

Bagi memperhebat agenda kitar semula, bermula 1 Januari 2026, semua pusat beli-belah diwajibkan menyediakan kemudahan kitar semula sebagai syarat kelulusan lesen perniagaan.

“Mulai 2026, seluruh negara, semua pusat beli belah wajib ada kemudahan kitar semula.

Tanpa kemudahan tersebut, lesen perniagaan tidak dibenarkan,” ujarnya.

Langkah itu selaras pelaksanaan pengasingan di punca di peringkat nasional, bagi meningkatkan kadar kitar semula negara.

Inisiatif itu juga bagi mendidik rakyat mengamalkan budaya rethink, reuse, reduce dan recycle.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN