Kerajaan tegas banteras kartel, ‘ekonomi gelap’ – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini/Foto JaPen

KUALA LUMPUR, 20 Januari – Kerajaan tegas dalam membanteras ‘ekonomi gelap’ termasuk kartel yang membabitkan rangkaian penyeludupan yang dibiarkan beroperasi selama beberapa dekad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan tegas membanteras kartel dan ekonomi gelap yang telah beroperasi berdekad-dekad.
  • Tindakan bersepadu dilaksanakan sejak dua tahun lalu melibatkan LHDN, AMLA, SPRM dan Kastam.
  • Proses pembersihan lambat kerana masalah sistemik dan rosak, namun laporan langkah akan dibentang di Parlimen.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, usaha membanteras sepenuhnya rangkaian kartel terbabit mengambil masa lama kerana melibatkan sistem yang sudah lama rosak dan sistemik.

Beliau berkata tindakan bersepadu telah diambil oleh pihak berkuasa sejak dua tahun lalu.

Kerjasama itu membabitkan pelbagai agensi, termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak berkuasa berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam.

“Beberapa kelompok kartel, termasuk yang disebut ekonomi gelap seperti mana di Pelabuhan Klang yang menyebabkan penyeludupan yang tinggi itu terbiar selama puluhan tahun mengikut rekod tapi sekarang sudah diambil (tindakan).

“Bagaimanapun disebabkan sistem rosak dan bobrok ini agak sistemik, ia mengambil masa. Jadi, saya akan beri jaminan supaya kita dapat lapor ke Parlimen langkah-langkah yang diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengenai langkah kerajaan dalam menangani masalah ekonomi hitam pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.