
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Kerajaan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkemas pengurusan subsidi, khususnya dalam mendepani tekanan harga global.
- Pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 akan disesuaikan mengikut keperluan dan keadaan semasa.
- Keutamaan memperbaiki pengurusan subsidi diesel untuk mengurangkan jurang harga dan mengelakkan ketirisan serta penyeludupan.
- Cadangan pengurangan kuota BUDI95 belum dimuktamadkan; fokus pada pelaksanaan semasa, dan Perdana Menteri akan menjelaskan kedudukan bekalan bahan api.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, antara pendekatan semasa kerajaan termasuk pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang akan disesuaikan mengikut keadaan semasa berdasarkan keperluan.
Beliau berkata, antara keutamaan ketika ini ialah memperbaiki pengurusan subsidi diesel bagi mengurangkan jurang antara harga pasaran dan harga bersubsidi yang berpotensi membuka ruang kepada ketirisan serta aktiviti penyeludupan.
“Penguatkuasaan sedang dijalankan, namun pendekatan lebih menyeluruh perlu diperhalusi bagi memastikan pelaksanaan subsidi dapat diurus dengan lebih berkesan secara berperingkat dan akan dinilai dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) edisi ke-32 terbitan Bank Dunia bertemakan “Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda”.
Mengulas cadangan pengurangan kuota BUDI95, beliau berkata, perkara itu belum dibincangkan untuk dimuktamadkan di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), dan setakat ini fokus diberikan kepada pelaksanaan semasa program berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kerajaan turut menyelaraskan pendekatan pengurusan diesel seperti kaedah BUDI95 seperti yang diumumkan sebelum ini.
Sementara itu, mengenai kedudukan bekalan bahan api negara, beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut.