
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Norway membatalkan kelulusan eksport sistem peluru berpandu bagi kapal perang Malaysia sebagai tindakan “tidak boleh diterima” dan berpotensi menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan negara.
“Lesen eksport senjata tertentu ke Malaysia telah dibatalkan, tetapi berkata ia tidak boleh mengulas mengenai kontrak individu kerana kerahsiaan.
- Norway membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu kerana pengetatan kawalan teknologi tertentu, menurut Kementerian Luar Oslo.
- Pembatalan itu memberi implikasi kepada pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan menunda penghantaran kapal pertama.
- Kementerian pertahanan tubuh jawatankuasa khas untuk meneliti tindakan undang-undang dan tuntutan balik serta ganti rugi terhadap Kongsberg.
“Perubahan itu susulan pengetatan kawalan ke atas teknologi tertentu,” kata Kementerian luar Oslo minggu lalu kepada agensi berita Norway NTB.
Datuk Seri Anwar berkata pada Khamis bahawa beliau telah membangkitkan “bantahan keras” kepada rakan sejawatnya dari Norway, Jonas Gahr Stoere dalam satu panggilan telefon, menyifatkan keputusan itu sebagai “sepihak dan tidak boleh diterima”.
“Kontrak yang ditandatangani adalah instrumen yang serius. Ia bukan konfeti untuk ditaburkan dengan cara yang tidak menentu.
“Jika pembekal pertahanan Eropah berhak untuk mengingkari tanpa hukuman, nilai mereka sebagai rakan strategik akan hilang begitu sahaja,” kata Datuk Seri Anwar dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.
Menurut beliau, tindakan Norway itu boleh memberi kesan terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan negara serta program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Katanya, perkembangan itu turut berpotensi memberi implikasi lebih luas terhadap keseimbangan keselamatan serantau.
Malaysia meluluskan projek LCS pada 2011 menerusi kontrak awal bernilai RM6 bilion ($1.5 bilion) bagi pembinaan enam kapal perang.
Projek itu bagaimanapun berdepan pelbagai isu termasuk dakwaan salah urus dan peningkatan kos sebelum disusun semula pada 2023 dengan jumlah kapal dikurangkan kepada lima.
Penghantaran kapal pertama yang dijadualkan pada Ogos ini turut dilaporkan ditangguhkan ke Disember susulan kelewatan penghantaran peralatan serta kerja penambahbaikan yang masih berjalan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata kementeriannya telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti kemungkinan tindakan undang-undang terhadap Kongsberg Defence & Aerospace susulan pembatalan kontrak berkenaan.
“Satu jawatankuasa khas di peringkat kementerian telah ditubuhkan untuk memperincikan tuntutan tersebut, yang tidak terhad kepada pembayaran balik yang telah dibuat, tetapi juga termasuk ganti rugi yang timbul daripada pelanggaran kontrak,” kata Mohamed Khaled.-AFP