Projek terbengkalai jejas daya tahan ekonomi negara

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir – Foto TalentCorp

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Penambahan kos bagi menyelamatkan projek ‘sakit’ ketika negara berdepan tekanan ekonomi dan krisis bekalan global perlu dielakkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek tergendala membazir peruntukan dan menjejaskan daya tahan ekonomi negara.
  • Kegagalan kontraktor menyebabkan penamatan kontrak, keperluan notis perubahan dan beban kos tambahan.
  • Penyelesaian LRA Sungai Limau perlu disegerakan untuk mengatasi krisis air Kedah dan sokong pembangunan negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, projek yang gagal disiapkan bukan sahaja membazirkan peruntukan, malah memberi kesan kepada daya tahan ekonomi negara.

Menurut beliau, antara beberapa projek utama yang terpaksa diberi peruntukan tambahan ialah projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau, Kedah, yang terbengkalai selepas kontrak asal ditamatkan tahun lalu.

Projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling, Kedah antara beberapa projek utama yang terpaksa diberi peruntukan tambahan – Foto BERNAMA

“Sebaik sahaja saya memulakan tugas di Kementerian Ekonomi, saya telah menerima Notis Perubahan tersebut dan kita bersetuju untuk meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi menyelamatkan projek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) ke-32, yang dikeluarkan Bank Dunia.

Akmal Nasrullah berkata isu yang menjadi cabaran besar adalah kegagalan kontraktor yang dilantik sebelum ini untuk menyiapkan projek LRA tersebut sehingga kontrak mereka terpaksa ditamatkan.

“Apabila projek terbengkalai, ia kembali kepada Kementerian Ekonomi untuk proses Notis Perubahan yang seterusnya menimbulkan beban kos tambahan.

“​Kita perlu faham bahawa selagi projek LRA ini tidak disiapkan, krisis air di Kedah tidak akan selesai,” katanya.

Beliau turut menjelaskan Kementerian Ekonomi melihat isu berkenaan dari sudut pembangunan, memandangkan tahap simpanan air di negeri itu dilaporkan pada paras kritikal.

Tambah beliau, isu tersebut telah dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara sejak 2020, dan menegaskan bahawa infrastruktur asas seperti bekalan air amat penting bagi pembangunan negara.