
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM250 juta tahun ini menerusi Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (EFT) kepada semua kerajaan negeri bagi melaksanakan projek pemuliharaan biodiversiti dan hutan.
- Perlis menerima RM12.1 juta bagi menyokong inisiatif konservasi serta tambahan RM1.7 juta sebagai hasil negeri.
- Garis Panduan EFT menetapkan skop pembiayaan termasuk perkongsian tanggungjawab bersama komuniti, program CEPA dan latihan sumber manusia.
- Kerajaan Persekutuan menyediakan mekanisme, perundangan dan dasar untuk memastikan komuniti tempatan mendapat perlindungan dan manfaat.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, daripada jumlah itu, Perlis menerima RM12.1 juta bagi menyokong pelaksanaan inisiatif konservasi serta tambahan RM1.7 juta
sebagai hasil negeri.
“Bagi memastikan insentif tersebut memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat, Garis Panduan Pelaksanaan EFT yang dikeluarkan NRES menetapkan antara skop pembiayaan yang dibenarkan termasuk program perkongsian tanggungjawab bersama komuniti dan masyarakat setempat.
“Ia turut merangkumi program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA), serta latihan pembangunan sumber manusia,” katanya.
Beliau menjelaskan, walaupun pengagihan royalti sumber asli seperti mineral berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan terus menyediakan mekanisme insentif, perundangan dan dasar bagi memastikan komuniti setempat mendapat perlindungan dan manfaat.
Menurutnya, Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 turut mewujudkan mekanime perkongsian faedah secara adil dan saksama dengan masyarakat peribumi serta komuniti tempatan.