
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Kerajaan dijangka menanggung subsidi produk petroleum sebanyak RM40 bilion tahun ini bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos bahan api susulan ketidaktentuan harga minyak dunia dan konflik di Selat Hormuz.
- Kerajaan kini menanggung kira-kira RM4 bilion sebulan subsidi petrol dan diesel.
- Penurunan BUDI95 ke RM1.99 dan diesel RM2.10 awalnya diunjurkan kos subsidi sekitar RM800 juta sebulan.
- Ketegangan perang menaikkan subsidi kepada kira-kira RM5 bilion sebulan bagi Mac dan April.
- Jumlah subsidi berubah mengikut harga minyak Brent, jadi kerajaan hanya boleh membuat unjuran berdasarkan perkembangan pasaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kini menanggung kira-kira RM4 bilion sebulan bagi subsidi petrol dan diesel.
“Umpamanya, bila BUDI95 diturunkan ke RM1.99 dan BUDI diesel RM2.10, kerajaan menanggung, asalnya bila kita perancang RM1.99 ini sekitar untuk RON95 sekitar RM800 juta sebulan. RM800 juta sebulan untuk RON95 dan diesel untuk Januari, Februari 2026.
“Kemudian meletus perang, jadi dah melonjak untuk Mac, April, RM5 bilion ringgit sebulan. Subsidi bulan Mei kerana minyak agak turun sedikit, dia jadi RM4 bilion ringgit. Jadi RM4 bilion ringgit sebulan, kerana tampungan supaya rakyat tidak terbeban dengan kos minyak dan diesel yang tinggi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai penilaian kerajaan terhadap kesan krisis berpanjangan di Selat Hormuz terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara serta langkah mengurangkan impaknya.
Anwar berkata, jumlah subsidi petroleum berubah mengikut harga pasaran minyak mentah Brent, justeru kerajaan hanya boleh membuat unjuran berdasarkan perkembangan semasa pasaran.