
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Sebanyak 75 lokasi di jalan persekutuan di Perak dipasang lampu jalan membabitkan kos RM7.85 juta bagi meningkatkan keselamatan pengguna di kawasan kemalangan dan berisiko tinggi. Sebanyak 75 lokasi di jalan persekutuan di Perak dipasang lampu jalan membabitkan kos RM7.85 juta bagi meningkatkan keselamatan pengguna di kawasan kemalangan dan berisiko tinggi.
- Pemasangan lampu jalan dilaksanakan melalui Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya 2023 hingga 2025 bagi tingkatkan keselamatan di kawasan berisiko.
- Di Parlimen Padang Rengas, tiga lokasi sudah dipasang 29 lampu jalan solar LED; tiga lokasi lagi dalam pelaksanaan, dijangka siap tahun ini.
- KKR dan JKR akan terus memantau lokasi berisiko serta menyediakan garisan, papan tanda dan perabot jalan untuk keselamatan pengguna.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, pemasangan itu dilaksanakan menerusi Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya dari 2023 hingga 2025.
“Bagi kawasan kerap kemalangan atau berisiko kemalangan seperti persimpangan, selekoh dan jambatan serta kawasan mempunyai rekod kemalangan yang dikenal pasti, pemasangan lampu jalan akan dibuat secara setempat berskala tertentu dan memenuhi keperluan pencahayaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, tiga lokasi di Parlimen Padang Rengas sudah dilengkapi 29 lampu jalan solar LED ”Light Emitting Diode” (LED) dengan kos RM300,000.
Katanya, tiga lagi lokasi di kawasan itu sedang dilaksanakan pemasangan kira-kira 22 unit lampu jalan membabitkan kos RM230,000 dan dijangka siap tahun ini.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus memantau lokasi berisiko kemalangan, selain menyediakan kemudahan keselamatan seperti garisan dan papan tanda jalan serta perabot jalan.