KOTA KINABALU, 9 November - Kerajaan Persekutuan komited untuk meningkatkan pembangunan Sabah melalui pelbagai inisiatif pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Persekutuan membelanjakan sebanyak RM17 bilion setiap tahun untuk Sabah.
Beliau berkata fokus kerajaan bukan sekadar kutipan hasil negeri, tetapi peruntukan dapat terus memberi manfaat kepada rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar.
"Kita bicara soal kemampanan negara mesti maju ekonominya, negara mesti membela nasib rakyatnya. Pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan sebagainya untuk rakyat kemudahan asas diperbaiki, duit jalan, sekolah, mata, guruan, universiti klinik-klinik desa, klinik bandar, hospital mesti ditingkatkan", katanya.
Beliau berucap merasmikan Program Rancakkan MADANI Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Datuk Seri Anwar turut menekankan kepentingan integriti, nilai dan akhlak dalam kepimpinan, dengan menegaskan pembangunan negeri bukan hanya tentang angka tetapi juga mengenai keberkesanan pelaksanaan dasar.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, serta lebih 2,000 peserta program termasuk pelajar universiti dan komuniti setempat.