KUALA LUMPUR, 8 September- Kerajaan komited memperkasa peluang pekerjaan belia Orang Asli melalui tiga pendekatan utama iaitu pendidikan konvensional, kursus keusahawanan serta peningkatan kemahiran melalui pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, usaha tersebut digerakkan secara bersepadu dengan kementerian lain bagi memastikan belia Orang Asli mendapat pelbagai peluang pekerjaan di sektor awam dan swasta.
“Umpamanya dalam sektor awam, contoh ‘Ranger Community’ di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung dari tahun 2021 sehingga 2024 terdapat 2,913 belia yang telah ditempatkan sebagai ‘Ranger Community’. Manakala dalam pelbagai agensi lain terutama HRD Corp, koperasi akademi binaan Malaysia ataupun UOA Academy di sana terdapat 37 para belia Orang Asli telah ditempatkan sejak tahun 2023.
“Manakala dalam GLC lain seperti Malaysia Aviation Group sebagai Cabin Crew, tahun lepas sahaja melibatkan 5 Orang Asli ditempatkan. Bagi syarikat swasta pula, seramai 45 orang sebagai operator pengeluaran di HRD Corp diletakkan sebagai pengawal keselamatan dan juga Koperasi Akademi Binaan Malaysia terdapat 20 orang, ertinya 82 orang sejak tahun lalu,” katanya.
Tambah beliau, penglibatan Orang Asli dalam bidang keusahawanan juga memberangsangkan.
Penganjuran Karnival Usahawan Desa dan Karnival Usahawan Orang Asli menyaksikan belia orang asli memperoleh jualan mencecah RM839,000.
Beliau menjawb persoalan Senator Shahrol Wizan Sulong mengenai langkah KKDW meningkatkan peluang pekerjaan belia orang asli dalam pelbagai sektor pekerjaan sekaligus memperkasa taraf sosioekonomi komuniti berkenaan.