KUALA LUMPUR, 8 November- Kerajaan komited untuk memudahkan pertumbuhan industri kenderaan elektrik (EV) dan penggunaan teknologi hijau yang lebih meluas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini sejajar dengan matlamat kerajaan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024, iaitu mempercepat penerimaan EV dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam pelbagai sektor.
"Majlis hari ini merangkumi keazaman kolektif kita untuk menerima perubahan, melindungi alam sekitar dan membina masa depan yang mampan. Kerajaan berdedikasi sepenuhnya untuk memudahkan pertumbuhan industri kenderaan elektrik danpenggunaan teknologi hijau yang lebih meluas, sejajar dengan matlamat kami yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melancarkan Kenderaan Elektrik Weststar Maxus MIFA 9, di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, kerajaan turut memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada mobiliti mampan dan teknologi hijau menerusi lanjutan pengecualian duti import untuk pemasangan komponen EV tempatan sehingga Disember 2027.
"Bagi meningkatkan lagi penggunaan EV, kami menawarkan potongan cukai sehingga RM300,000 untuk syarikat yang menyewa kenderaan elektrik bukan komersial dan mengecualikan cukai jalan untuk EV sehingga 31 Disember 2025.
"Kami komited untuk mewujudkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh Malaysia menjelang 2025.
"Buat masa ini, kita mempunyai 1,246 stesen pengecas awam yang beroperasi, menandakan hanya fasa awal infrastruktur pengecasan yang mantap berupaya memudahkan penggunaan meluas kenderaan elektrik,” katanya.
Anwar turut menyeru kepada kerajaan, pemain industri, dan orang ramai untuk bekerjasama dalam membentuk Malaysia yang lebih bersih dan mampan untuk generasi akan datang.