Kerajaan kaji pendekatan NDI tangani kos sara hidup

Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kementerian Ekonomi sedang meneliti kaedah baharu bagi memastikan golongan berpendapatan sederhana yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup tidak tercicir daripada bantuan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konsep NDI dijadikan asas agihan bantuan lebih adil, mengambil kira kehidupan wajar serta perbezaan mengikut lokasi dan demografi isi rumah.
  • Pengiraan NDI dua peringkat: Pendapatan Kasar tolak potongan berkanun menjadi DI, kemudian tolak perbelanjaan asas untuk peroleh NDI sebenar.
  • Kerajaan memberi jaminan membela golongan berpendapatan rendah dan mereka tercicir tanpa mengira kaum atau lokaliti.
  • Dalam RMK13 (2026-2030) fokus pada tingkatkan pendapatan, kawal kenaikan kos barangan asas, literasi kewangan dan perlindungan sosial.

Timbalan Menterinya, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, konsep Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) mampu menjadi asas untuk mengagihkan bantuan lebih adil,mengambil kira aspek kehidupan wajar serta berbeza mengikut lokasi dan demografi isi rumah.

“Secara prinsip, NDI dikira melalui dua peringkat. Pertama, Pendapatan Kasar (GI) ditolak dengan potongan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), cukai pendapatan dan zakat untuk mendapatkan Pendapatan Boleh Guna (DI).

“Kedua, DI tersebut ditolak pula dengan jumlah perbelanjaan asas bagi menjalani kehidupan wajar. NDI adalah pendapatan sebenar yang ada pada isi rumah untuk simpanan atau perbelanjaan lain,” katanya di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan, kerajaan akan terus membela golongan berpendapatan rendah serta individu yang tercicir daripada sistem bantuan tanpa mengira kaum serta lokaliti.

Tegas beliau, bagi tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026 hingga 2030, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup melalui strategi meningkatkan pendapatan rakyat dan membendung kenaikan kos barangan serta perkhidmatan asas termasuk makanan, kesihatan, perumahan, pendidikan, utiliti dan pengangkutan awam.

Langkah itu bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan rentan, malah turut membantu isi rumah M40.

Selain itu, pelbagai kementerian dan agensi akan terus memperluas program literasi kewangan, menggalakkan budaya simpanan mampan serta memperkukuh perlindungan sosial bagi memastikan isi rumah lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif serta berdaya tahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.