fb fb fb fb fb

Kerajaan Johor pantau rapi infrastruktur, saluran paip gas susulan gempa

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh. Foto- RTM

ISKANDAR PUTERI, 28 Ogos - Kerajaan Johor memantau rapi saluran paip petroleum, dan kemudahan kritikal lain, susulan gempa bumi lemah yang berlaku di negeri itu. 

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pemeriksaan saluran paip bawah tanah itu dibuat bagi mengurangkan kebimbangan awam.

Pemeriksaan turut dijalankan terhadap infrastruktur jalan raya, jambatan, empangan dan aset kerajaan lain.

"Portfolio saya memantau bangunan-bangunan yang berkaitan dengan portfolio saya. Contohnya jalan raya, jambatan, bangunan-bangunan JKR, JPS dan juga empangan-empangan di kawasan tersebut. Buat masa ni tak ada kerosakan yang ditemukan, mungkin ada retak sikit tapi tak menyebabkan kemudaratan, " ujarnya.

"Cuma mungkin untuk sekolah, hospital dan sebagainya kita tunggu laporan daripada jabatan masing-masing untuk dipanjangkan kepada pihak JKR untuk kita tengok apa jenis kerosakan," tambahnya lagi.

Laporan lengkap akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sebelum tindakan lanjut diputuskan.

Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan MetMalaysia dan agensi teknikal lain, bagi meneliti kesan gegaran terhadap struktur tanah.

EMMI NORALIZA ADNAN