fb fb fb fb fb

Kerajaan jamin lembu import dari Thailand bebas LSD, FMD.

SERDANG, 20 Mei- Kerajaan memberi jaminan, lembu yang diimport dari Thailand untuk dijadikan korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bebas daripada Penyakit Kuku dan Mulut (FMD) serta Lumpy Skin Disease (LSD).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan l (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, semua lembu yang akan dibawa masuk dari negara itu perlu menjalani proses kuarantin dan disahkan bebas penyakit berkenaan sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

Beliau memaklumkan, lebih 12,000 ekor lembu dijangka akan diimport dari Thailand untuk ibadah korban tahun ini.

"Sebelum dibawa masuk untuk sembelihan kita akan kuarantin lembu tersebut selama 28 hari, untuk yang lain-lain 35 hari," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Lebah Sedunia 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

 

(Datuk Seri Ahmad Hamzah dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Lebah Sedunia 2022 di UPM)

Pada 7 Jun tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung import lembu dan kerbau dari Thailand selepas menilai risiko penularan penyakit LSD yang dilaporkan di lebih 41 wilayah di Thailand.

Bagaimanapun pada 15 Mac lepas, larangan import berkenaan ditarik balik.

Ditanya mengenai jangkaan berlaku krisis makanan di negara ini, Datuk Seri Ahmad berkata beberapa langkah sedang dirangka bagi memastikan bekalan makanan negara cukup dan stabil.

"MAFI akan sentiasa membuat tinjauan mengenai masalah dihadapi ketika ini serta apakah tindakan yang perlu dilakukan bagi menangani isu tersebut," katanya lagi.

Media Baharu