Kerajaan berjaya kurangkan kerugian negara akibat projek Multi-Product Pipeline, Trans-Sabah Gas Pipeline

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ RTM

KUALA LUMPUR, 3 November- Kerajaan berjaya mengurangkan kerugian negara kepada RM3 bilion susulan penamatan projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP), menerusi penyaluran semula pinjaman RM5 bilion untuk membiayai projek bekalan air di utara Perak dan Pulau Pinang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian penyaluran semula pinjaman antara Suria Strategic Energy Resources dan CEXIM dimeterai pada 30 Oktober.
  • Rundingan semula pada 2024 dan perbincangan bersama pemimpin China pada 2025 membantu mencapai penyelesaian pinjaman.
  • Siasatan terhadap projek MPP dan TSGP diteruskan setelah laporan menunjukkan unsur penyelewengan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjanjian penyaluran semula pinjaman antara Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) dengan Export-Import Bank of China (CEXIM) dimeterai pada 30 Oktober lalu.

Beliau berkata langkah itu membolehkan Malaysia mendapatkan semula kira-kira RM5 bilion untuk pelaksanaan projek bekalan air berkenaan.

“Perjanjian penyaluran semula pinjaman dimeterai mengurangkan kerugian negara kepada RM3 bilion, termasuk RM1.5 bilion yang telah diusahakan. Jadi, kita dapat balik sekitar RM5 bilion daripada projek Perak dan bekalan air ke Pulau Pinang,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata perjanjian itu dimeterai susulan rundingan semula yang dikemukakan Malaysia pada 2024, selain perbincangan bersama Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang pada 2025.

Dalam pada itu, beliau berkata,siasatan terhadap kedua-dua projek berkenaan masih diteruskan susulan terdapat unsur penyelewengan berdasarkan laporan yang diterima kerajaan setakat ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.