KEPALA BATAS, 5 Ogos- Kerajaan berhasrat memperkenalkan sekolah baharu yang menyasarkan anak kepada golongan paling miskin di Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaannya akan berpandukan kerangka sekolah menengah sains serta berasrama penuh yang memfokuskan kepada golongan terbabit.
Katanya, ia dibuat bagi membolehkan golongan berkenaan berpeluang mendapat akses pendidikan, walaupun keputusan peperiksaan mereka kurang memberangsangkan.
(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menghadiri Majlis Temu Anwar)
"Keadaan sudah berubah. Yang saya syorkan sekurang-kurangnya anjakan paradigma, maknanya untuk masa depan, kita mesti tumpu mutu pendidikan. Pertama tentu akses pendemokrasian pendidikan berkualiti, iaitu peluang saksama, tidak ada sesiapa tercicir. Jadi kita ada pendemokrasian mutu pendidikan, maknanya semua berhak. Tapi kalau sekarang ini nama sahaja berhak, tetapi sekolah di Manik Urai, Kelantan, sekolah di Kapit, Sarawak, sekolah di Pulau Pinang dan Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak tetap ada kesenjangan.
"Bulan lalu, saya perkenalkan satu lagi konsep, saya hendak buat satu jenis sekolah seperti sekolah menengah sains, sekolah asrama penuh bagi kelompok yang paling miskin di negara kita.
"Jadi kita ada sekolah yang memberi ruang kepada anak-anak yang paling miskin dan tentunya keputusan dia tidak begitu pintar, tapi kita beri dia peluang, itu bagi makna manusiawi keadilan kepada semua.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Temu Anwar: Bicara Pendidikan Madani yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.