SIBU, 11 September- Kepala seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas mandi di jambatan sungai berhampiran rumahnya di Kampung Siang-Siang Laut, Terusan, Lawas, ditemui lewat malam tadi, dipercayai akibat serangan buaya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kepala mangsa dijumpai penduduk kampung kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
“Sebaik menerima panggilan pada 11.20 malam, pasukan keluaran operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas digerakkan ke lokasi sejauh 22 kilometer.
Pada 12.45 tengah malam, selepas pengesahan ahli keluarga, objek yang ditemui disahkan sebagai kepala mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pagi ini,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Selasa lalu, mangsa Tuah Lamat, 80, dilaporkan hilang selepas mandi di jambatan sungai berdekatan kediamannya.
Ahli keluarga hanya menemui tuala dan selipar dipercayai milik mangsa di lokasi.
Penduduk kampung kemudian melancarkan pencarian menggunakan perahu di sepanjang sungai namun gagal menemui mangsa sebelum menghubungi pihak bomba untuk bantuan.