MASJID TANAH, 23 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap tiada unsur pencatutan harga selepas kerajaan membuat keputusan untuk menaikkan tarif air berkuat kuasa 1 Februari depan.
Tegas Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, pelarasan tersebut hanya merangkumi tarif air dan tidak melibatkan barangan jualan perniagaan.
"Kita akan melihat keputusan untuk menaikkan tarif air adalah keputusan bersama-sama yang juga melibatkan kerajaan negeri membabitkan Majlis Air Negara.
"Kita meneliti dan akan membuka sebarang aduan sekiranya terdapat unsur-unsur pencatutan dilakukan," kata Armizan kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) di sini.
Majlis berkenaan dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.