PUTRAJAYA, 1 Mei - Kenaikan gaji melebihi 13 peratus yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 hari ini, merupakan langkah substantif kerajaan dalam membantu penjawat awam.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pengumuman itu bakal memberi kesan positif kepada kakitangan awam demi kestabilan ekonomi dan keperluan isi rumah.
"16 juta pekerja bersama-sama dalam perjuangan menentang rasuah kerana duit itu dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk gaji lebih baik atau elaun lebih tinggi. Kita akan dengar perincian dalam Belanjawan 2025.
"Sudah pasti Perdana Menteri akan maklumkan RM10 bilion itu saya percaya adalah tambahan. Inilah kita jangkakan untuk menampung peningkatan paling tinggi dalam sejarah kenaikan penjawat awam dan elaun belanja RM10 bilion." kata Fahmi kepada pemberita selepas Sambutan Hari Pekerja 2024, di Putrajaya.
Perdana Menteri mengumumkan penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai Disember depan.
Pelaksanaan kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Menurut Anwar, kerajaan akan meningkatkan gaji penjawat awam bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.