fb fb fb fb fb

Kempen Tabung Pahlawan kumpul RM1.095 juta

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan ucapan sempena Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan 2025/2026 di Dewan Zulkifeli Zin Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Kempen Tabung Pahlawan (KTP) sesi 2025/2026 berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM1.095 juta setakat ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin sasaran kutipan RM3 juta mampu dicapai dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk masyarakat awam, agensi kerajaan, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Bagi tahun 2025-2026, kita menyasarkan kutipan melebihi RM3 juta. Setakat hari ini, jumlah kutipan yang telah diterima mencecah RM1.095 juta,” katanya.

Kempen bertemakan “Satu Rakyat Satu Ringgit, Demi Pahlawanku” itu diadakan bagi memperkukuh usaha membantu komuniti veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memerlukan sokongan kecemasan tambahan.

"Pelaksanan kempen ini mencerminkan nilai-nilai Malaysia MADANI, khususnya nilai kesejahteraan, hormat dan ihsan, yang diterjemahkan melalui sumbangan dan sokongan masyarakat terhadap kebajikan para pahlawan negara." katanya.

Kempen kutipan sumbangan dimulakan setiap 1 Ogos sehingga 31 Julai, dilancarkan Penaung KTP Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Perdana Menteri.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ