Kempen Internet Selamat MCMC libatkan 500 sekolah di Terengganu

Meningkatkan kesedaran keselamatan siber – Pengarah MCMC Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya melibatkan sebanyak 500 sekolah rendah dan menengah di Terengganu sepanjang tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kempen memberi pendedahan kepada pelajar mengenai risiko penyalahgunaan media sosial seperti buli siber, penipuan dalam talian dan eksploitasi kanak-kanak.
  • MCMC merancang meluaskan kempen kepada masyarakat setempat, termasuk golongan belia dan komuniti, bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber.
  • Usaha ini selari dengan pelaksanaan pengesahan umur pengguna media sosial menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
  • Op Siber (Dis 2024–Apr 2026) merekodkan tiga operasi, 17 penahanan dan rampasan lebih 200 peranti untuk membantu tindakan penguatkuasaan.

Inisiatif itu merupakan antara usaha penting kerajaan dalam meningkatkan kesedaran keselamatan digital serta mendidik pelajar mengenai penggunaan internet secara bertanggungjawab.

Pengarah MCMC Negeri Terengganu, Abdul Mubin Mohd Zain berkata, kempen tersebut memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan risiko penyalahgunaan media sosial termasuk buli siber, penipuan dalam talian dan eksploitasi kanak-kanak.

Menurut beliau, sasaran melibatkan 500 sekolah berjaya dicapai menerusi pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang dijalankan secara berperingkat di seluruh negeri sepanjang tahun lalu.

Katanya, pada tahun ini MCMC akan memperluaskan kempen berkenaan kepada masyarakat setempat termasuk golongan belia dan komuniti bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Kuala Terengganu.

Usaha tersebut selari dengan pendekatan kerajaan yang sedang melaksanakan pengesahan umur pengguna media sosial menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Mubin memaklumkan menerusi Op Siber yang dijalankan dari Disember 2024 hingga April 2026, sebanyak tiga operasi telah dilaksanakan membabitkan penahanan 17 individu serta rampasan lebih 200 peranti termasuk telefon bimbit dan modem.

Menurut beliau, data operasi berkenaan melibatkan seluruh negara dan pihaknya sedang mendapatkan pecahan data di peringkat negeri bagi membantu usaha mengurangkan penyalahgunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah 16 tahun di Terengganu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.