28 penduduk masih terjejas, hakisan Pantai Tanjung Dawai membimbangkan

Foto RTM

TANJUNG DAWAI, 19 Mei – Seramai 28 penduduk daripada 16 keluarga masih terjejas dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Pial susulan kejadian air pasang besar yang melanda Kampung Huma, Tanjung Dawai, Kedah sejak Sabtu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hakisan pantai semakin membimbangkan, penduduk kini berdepan risiko kehilangan kediaman.
  • Penduduk mendesak pembinaan benteng pemecah ombak sepanjang tiga kilometer disiapkan segera untuk elakkan kerosakan lebih serius.
  • Benteng pemecah ombak sementara gagal menahan ombak tinggi; APM dan pihak berkuasa menjalankan pemantauan harian termasuk bacaan ombak.

Kejadian tersebut turut memburukkan lagi hakisan pantai di kawasan berkenaan, sekali gus meningkatkan kebimbangan penduduk setempat yang kini berdepan risiko kehilangan kediaman.

Penduduk kini mendesak agar projek pembinaan benteng pemecah ombak sepanjang tiga kilometer di pesisir pantai disiapkan segera bagi mengelakkan kerosakan lebih serius sekiranya fenomena sama berulang.

Tinjauan RTM mendapati kira-kira lima hingga lapan buah rumah yang terletak berhampiran pantai berada dalam risiko tinggi untuk “hilang” akibat dibadai ombak kuat.

Walaupun benteng pemecah ombak sementara telah dibina, ia masih belum mampu menahan impak ombak tinggi yang semakin menghampiri kawasan penempatan.

Menurut Penghulu Mukim Merbok, Hafizul Ahmad Salim, kejadian hakisan pantai di kawasan itu berlaku setiap tahun dan semakin membimbangkan selagi kerja-kerja tambakan batu atau pembinaan benteng kekal belum disiapkan.

“Dalam kejadian Sabtu lalu, ombak setinggi kira-kira 2.9 meter direkodkan, disertai ribut serta fenomena air pasang besar yang menyebabkan beberapa rumah dinaiki air sehingga paras lutut, selain ada yang hampir ditimbus pasir dibawa ombak.

“Sehingga pukul 4 petang tadi, jumlah penduduk terjejas menunjukkan penurunan daripada 47 orang melibatkan 25 keluarga kepada 28 orang daripada 16 keluarga,” katanya kepada RTM, hari ini.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama pihak berkuasa lain terus menjalankan pemantauan berkala di sepanjang pesisir pantai bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Pegawai Bahagian Bencana Operasi dan Sekretariat APM Daerah Kuala Muda, Leftenan (PA) Muzhaffar Ahmad Arib memaklumkan, pemantauan dilakukan setiap hari termasuk ketika air pasang bagi menilai tahap kenaikan air laut.

“Bacaan ombak pada pukul 2 petang hari ini mencatatkan ketinggian 2.8 meter, sedikit rendah berbanding 2.9 meter yang direkodkan sepanjang tiga hari berturut-turut sebelum ini,” katanya.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), fenomena air pasang besar yang bermula Sabtu lalu dijangka berakhir semalam, namun kesan hakisan yang ditinggalkan terus memberi ancaman kepada penduduk setempat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.