
KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Kementerian Komunikasi akan memanfaatkan peruntukan Belanjawan 2027 bagi memperkukuh infrastruktur telekomunikasi, penyampaian maklumat kerajaan serta merancakkan industri kreatif negara.
- Pelaburan RM5 bilion melalui JENDELA dan SALAM untuk kukuhkan ketersambungan 4G serta capaian internet sepanjang jalan raya, rel dan kampung Orang Asli.
- Peruntukan lebih RM130 juta sokong sektor filem, muzik dan kandungan kreatif termasuk insentif produksi, pengecualian duti hiburan tiket dan penciptaan 20 IP baharu.
- Peruntukan RM1 bilion untuk Sistem Rekod Perubatan Elektronik dan Kempen Internet Selamat di sekolah bagi tingkatkan keselamatan siber dan pelindungan kanak-kanak.
Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan, peruntukan tersebut antaranya akan memberi tumpuan kepada infrastruktur komunikasi, nilai kenegaraan dan ekonomi jingga dengan kos sebanyak RM142 juta untuk memperhebat fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.
“Manakala, lebih RM130 juta bagi menyokong sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.
“Ia merangkumi insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia, pengecualian duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027, serta melahirkan 20 harta intelek (IP) baharu,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, pelbagai inisiatif strategik akan dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai kelangsungan usaha memperluas jaringan infrastruktur telekomunikasi dan dan keselamatan ruang siber.
“Pelaburan RM5 bilion untuk memperkukuh ketersambungan internet negara melalui Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) merangkumi liputan 4G di semua kampung Orang Asli, ketercapaian Internet di 7,000 kilometer (km) jalan raya dan 1,700 km rel kereta api, serta pelaksanaan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).
“Selain itu, pelaburan RM1 bilion untuk pelaksanaan Projek Sistem Rekod Perubatan Elektronik di fasiliti kesihatan awam, selain mempergiat Kempen Internet Selamat di sekolah-sekolah untuk menangani isu buli siber serta eksploitasi kanak-kanak,” kata kementerian tersebut.
Kementerian Komunikasi yakin inisiatif strategik Belanjawan 2027 berupaya meningkatkan keterhubungan komunikasi, literasi digital, serta memacu hasil industri kreatif negara ke tahap lebih berkualiti.