(Imej mendiang Ratu Elizabeth II di perhentian bas di Edinburgh hari ini
sehari selepas baginda meninggal dunia pada usia 96 tahun/FOTO AFP)
KUANTAN, 9 September - Pahang kibarkan bendera separuh tiang selama tiga hari berturut-turut mulai esok sebagai tanda penghormatan atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, keputusan itu bagi menjunjung perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ratu Elizabeth II, monarki paling lama memerintah dalam sejarah British, mangkat pada usia 96 tahun seperti diumumkan Istana Buckingham.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga diraja United Kingdom atas kemangkatan Ratu Elizabeth II, monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara.
"Saya turut berduka atas khabar ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga Diraja United Kingdom, seluruh rakyatnya serta warga Komanwel di serata dunia.
"Semoga semuanya sentiasa diberikan kekuatan dan ketabahan pada waktu sukar ini," katanya.