fb fb fb fb fb

Kemajuan projek ECRL di Selangor catat lebih 40%

Foto Facebook Shamsul Azri bin Abu Bakar

SELANGOR, 29 Oktober- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor telah mencapai kemajuan sehingga 40.34 peratus setakat September 2024.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, meski kemajuan ini lebih rendah daripada peratusan keseluruhan, beliau percaya masih ada usaha yang boleh dijalankan oleh pihak ECRL untuk memastikan pembinaan ini dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.
 
Antara kerja-kerja infrastruktur yang sedang giat dilakukan kini ialah termasuk kerja-kerja pengukuhan tanah, pengorekan terowong, kerja-kerja cerucuk, pelancaran rasuk jejambat serta pembinaan stesen.

Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak ini merupakan stesen ECRL yang pertama dibina di negeri Selangor. Stesen penumpang ini akan memudahkan pengguna di Lembah Klang melakukan perjalanan terus dengan mudah ke negeri-negeri Pantai Timur atau sebaliknya.

"Apabila ECRL mula beroperasi kelak pada Januari 2027. Sepertimana yang diketahui umum, jajaran utama ECRL sepanjang kira-kira 92 kilometer di negeri Selangor melibatkan pembinaan 5 buah stesen. Di mana stesen Terminal Bersepadu Gombak, Kapar dan Jalan Kastam di Pelabuhan Klang bagi tujuan penumpang sahaja. Manakala stesen Bandar Serendah dan Puncak Alam adalah stesen gabungan penumpang dan kargo.

"Jajaran sisihan sepanjang kira-kira 29 kilometer dari Jalan Kastam pula akan melibatkan kesinambungan laluan kargo ke dermaga di Northport dan Westports masing-masing. Kesemua 5 stesen di Negeri Selangor adalah unik dan mempunyai fungsi yang berbeza," katanya.

Berdasarkan kepada laporan ECRL Integrated Land Use Master Plan (PeGTaECRL), stesen Terminal Bersepadu Gombak merupakan gerbang penumpang ke Wilayah Pantai Timur, manakala stesen Bandar Serendah pula berfungsi sebagai Hab Logistik.

Sementara itu, stesen Puncak Alam merupakan kawasan Perkhidmatan Sokongan Pelancongan Warisan, stesen Kapar merupakan Kawasan Industri Bernilai Tinggi dan stesen Jalan Kastam berfungsi sebagai gerbang antarabangsa.

Menurut Datuk Seri Amirudin, pembinaan Bandar Serendah sebagai Hab Logistik serta stesen Jalan Kastam sebagai Gerbang Antarabangsa akan membuka koridor baharu untuk aktiviti ekonomi dan merancakkan pertumbuhan logistik dan fasilitasi perdagangan.

Beliau berucap pada Majlis Penembusan Terowong ECRL Gombak, di Gombak, Selangor.

Kerajaan Selangor juga berhasrat agar Jajaran Rel Kita Selangor dapat direalisasikan sekali gus membugarkan potensi ekonomi di kawasan seperti Kapar, Jeram, Kuala Selangor sehinggalah ke Tanjong Karang dan Sabak Bernam.

Trainee2