Kelewatan perjanjian bekalan Air Perak-Pulau Pinang bukan faktor politik

Foto BERNAMA

IPOH, 13 Julai – Kelewatan pemeteraian perjanjian bekalan air Perak dan Pulau Pinang bukan berpunca daripada faktor politik, sebaliknya disebabkan permintaan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memperhalusi beberapa perkara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan dan perjanjian adalah urusan perniagaan antara Khazanah Air Perak dan PBAPP.
  • Kerajaan negeri Perak tidak terlibat secara langsung dalam proses pemeteraian.
  • Butiran termasuk harga bekalan air tidak didedahkan sehingga perjanjian dimuktamadkan.
  • Projek membekal air mentah dari Perak ke Pulau Pinang untuk keperluan jangka panjang domestik dan perindustrian.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan, rundingan dan perjanjian itu merupakan urusan perniagaan antara Khazanah Air Perak (KAP) dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Menurutnya, kerajaan negeri Perak tidak terlibat secara langsung dalam proses pemeteraian tersebut yang pada asalnya dijadualkan berlangsung Jumaat lalu.

“Ini memandangkan Khazanah Air Perak merupakan antara entiti perniagaan (B2B), iaitu syarikat usaha sama (JV) antara Gamuda dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

“Mereka akan mengadakan rundingan serta memeterai perjanjian dengan Pengurusan Air Pulau Pinang. Setelah semua persediaan selesai, perjanjian tersebut akan ditandatangani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Tambahnya, butiran termasuk harga bekalan air belum boleh didedahkan selagi perjanjian belum dimuktamadkan, memandangkan ia melibatkan urusan perniagaan antara kedua-dua pihak.

Projek bekalan air Perak–Pulau Pinang merupakan inisiatif strategik yang melibatkan pembekalan air mentah dari Perak ke Pulau Pinang bagi memenuhi keperluan bekalan air jangka panjang, khususnya untuk sektor domestik dan perindustrian di wilayah utara.

Majlis berkenaan menyaksikan seramai 65 penerima daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, selain tujuh penerima daripada Pejabat Kewangan Negeri Perak dan buat julung kalinya, tiga penerima daripada Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak.