fb fb fb fb fb

Kejayaan PSIS di SIIF 2025 bukti TVET bukan lagi pilihan kedua

Foto Facebook Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR, 27 Disember - Pencapaian cemerlang Pasukan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dengan merangkul dua anugerah berprestij pada Seoul International Invention Fair (SIIF) 2025 membuktikan politeknik bukan lagi pilihan kedua.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerusi hantaran Facebook memaklumkan kejayaan itu menunjukkan bahawa politeknik merupakan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang melahirkan inovator berdaya saing, berfikir global dan mampu bersaing di pentas dunia.

"Kejayaan membanggakan ini menyaksikan PSIS meraih dua anugerah berprestij antarabangsa, emas (Gold Award) bagi A-Port Simulation: Inclusive Airport Experience with Interactive Navigation dan perak (Silver Award) bagi PlantScape Apps for Residential 2.0.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh pasukan serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas komitmen, dedikasi dan kerja berpasukan yang cemerlang.

"Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pasukan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) atas kejayaan mengharumkan nama Malaysia di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2025, Korea Selatan," menurut hantaran itu.

SIIF merupakan acara untuk para inovator dan penyelidik dari seluruh dunia mempamerkan idea serta produk baharu mereka kepada pengilang, pelabur, pengedar, syarikat perlesenan dan orang awam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI