ALOR SETAR, 24 Disember - Kedah antara enam negeri dilaporkan telah mencapai penggunaan 100 peratus bagi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Mencakupi semua golongan yang layak menerima sama ada penerima secara bulanan atau pemberian RM100 secara 'one-off', inisiatif itu dimanfaat sepenuhnya sama ada secara individu dan keluarga.
“Kira baguslah dapat duit beli barang keperluan macam Milo ke, susu ke, telur ke, Maggi ke, itulah. Kalau boleh dapat tahun depan itu, lebih baguslah," kata peniaga, Tan Boon Siang.
“SARA ini cukup baiklah, bulan-bulan cukup sebulan sekali dapat RM100. Keluarga kita dapat kurangkan beban sikit. Saya pesara, harap kerajaan dapat tolong kita lebih lagi. Bantuan kerajaan ini memang membantu perbelanjaan bulanan dan meringankan beban keluarga kami. Terima kasih kerajaan," kata pesara, Vincent Samuel.
“Program ini patut diteruskan bagi memberi manfaat kepada seluruh rakyat. Contohnya, bila saya balik kampung, saya boleh beli untuk ayah. Kira banyak membantu ayah dan ibu saya yang tinggal berdua di kampung," kata pekerja swasta, Siti Fatimah Ayob.
“Betul, meringankan beban kalau berbelanja. Kalau setiap bulan, contohnya RM200, bila dapat RM100 tinggal RM100 sahaja. Tak teruk sangat sebab dah boleh beli susu anak, pampers, beras dan minyak masak, semua masuk. Jadi tak adalah beban sangat pada kami. Kalau boleh naik lagi, lebih bagus, kalau RM100 memang cukup. Dah memang bermanfaat," kata pekerja kerajaan, Amira Zulfa Mohamad Kamal.
“Tahun depan kalau boleh bagi lebih banyak lagi, lebih bagus bagi RM200 sebab suami pun dah pencen. Tiap-tiap bulan guna habis dah,” kata suri rumah, Ooi Poh Gaik.
“Saya rasa memang kerajaan ini sangat baik kerana ia akan diberi kepada semua orang. Bagi saya, bantuan ini untuk semua," kata pelajar, Jonathan Vincent.