KDNK sektor pembuatan naik 5.9%, cecah RM101.3 bilion pada suku pertama 2026

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 berada di landasan yang tepat./ RTM

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Nilai tambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pembuatan meningkat 5.9 peratus kepada RM101.3 bilion pada suku pertama 2026 berbanding RM95.7 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan NIMP 2030 berada di landasan tepat, memperkukuh daya tahan dan produktiviti sektor perindustrian negara.
  • Sektor elektrik dan elektronik terus pemacu utama, disokong peningkatan permintaan teknologi global dan pengeluaran semikonduktor.
  • Hasil positif termasuk gaji median pembuatan RM2,775, peningkatan perdagangan 22.4% dan lonjakan eksport E&E.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata peningkatan sebanyak RM5.6 bilion itu membuktikan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 berada di landasan yang tepat dalam memperkukuh daya tahan serta produktiviti sektor perindustrian negara.

“Sektor elektrikal dan elektronik (E&E) terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh kitaran peningkatan permintaan teknologi global serta peningkatan pengeluaran semikonduktor. Selain itu, subsektor produk petroleum bertapis turut mencatat sumbangan nilai ditambah kedua tertinggi berikutan kadar penggunaan kapasiti yang lebih tinggi, manakala segmen bahan kimia dan produk kimia berkembang selaras dengan pengukuhan permintaan industri,” katanya ketika menjawab soalan Senator Sheikh ’Umar Bagharib Ali di Dewan Negara, hari ini.

Terdahulu Sheikh ’Umar meminta penjelasan mengenai perkembangan pelaksanaan NIMP 2030 serta pencapaiannya dalam meningkatkan produktiviti dan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurut Sim lagi, selepas dua tahun pelaksanaan NIMP 2030, perkembangan positif direkodkan, termasuk peningkatan gaji median sektor pembuatan kepada RM2,775 pada 2025 berbanding RM2,659 sebelum ini.

Menurut beliau, peningkatan kadar upah itu selaras dengan pertumbuhan sektor pembuatan yang semakin menawarkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.

Beliau turut memaklumkan jumlah perdagangan negara meningkat 22.4 peratus kepada RM1.796 trilion, manakala eksport berkembang 27.5 peratus.

Katanya, eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) mencatat pertumbuhan paling ketara apabila meningkat 42.5 peratus kepada RM467.9 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan sektor itu sebagai penyumbang utama kepada prestasi perdagangan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.