Enam projek tebatan banjir Sabah capai kemajuan lebih 90 peratus

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad/ Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Enam daripada 10 projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan di Sabah mencapai kemajuan fizikal melebihi 90 peratus dan dijangka siap secara berperingkat antara Julai hingga Disember ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebanyak 15 projek dan kajian tebatan banjir sedang dan akan dilaksanakan di Sabah dengan anggaran kos RM1.49 bilion.
  • Empat projek di peringkat pra-pelaksanaan, 10 projek dalam pelaksanaan dan satu kajian di peringkat pasca pelaksanaan.
  • Pelaksanaan projek termasuk inisiatif di bawah RMK12 dan perancangan dalam rolling plan pertama RMK13.
  • Antara projek hampir siap ialah RTB Sungai Rampayan, RTB Sungai Ketiau, Lido PLSB Sungai Moyog, RTB Sungai Padas, RTB Sungai Anip.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, secara keseluruhan, 15 projek dan kajian berkaitan tebatan banjir sedang dan akan dilaksanakan di Sabah dengan anggaran kos RM1.49 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, empat projek berada di peringkat pra-pelaksanaan, 10 projek sedang dalam pelaksanaan, manakala satu kajian di peringkat pasca pelaksanaan.

“Projek-projek ini merangkumi pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta perancangan di bawah rolling plan pertama, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Daripada 10 projek yang sedang dilaksanakan, enam (6) projek telah mencapai kemajuan fizikal melebihi 90 peratus dan dijangka siap secara berperingkat antara Julai hingga Disember 2026”, katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan berhubung status pelaksanaan projek tebatan banjir di Sabah di bawah peruntukan RM22 bilion serta kawasan berisiko tinggi yang terlibat di Dewan Negara hari ini.

Antara projek yang hampir siap ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rampayan di Menggatal, RTB Sungai Ketiau di Putatan, RTB kawasan persekitaran Lido PLSB Sungai Moyog di Penampang, RTB Sungai Padas di Tenom dan RTB Sungai Anip di Sandakan.

Tambah beliau, pelaksanaan projek akan diteruskan secara berfasa berdasarkan tahap risiko, kelulusan peruntukan dan keperluan teknikal bagi mengurangkan impak banjir serta meningkatkan keselamatan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.