
KUALA LUMPUR, 23 Julai — Prospek penjara yang mnejalani hukuman di peringkat akhir pemenjaraan berpeluang mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
- Pendekatan bertujuan menyediakan prospek bagi memasuki alam pekerjaan selepas dibebaskan.
- Program memastikan prospek memiliki kemahiran memenuhi keperluan industri serta sumber pendapatan.
- Lebih 430 syarikat bekerjasama dengan Jabatan Penjara menyediakan latihan dan peluang pekerjaan.
- Hampir 100 peratus peserta program menerima tawaran pekerjaan selepas tamat hukuman.
Peluang itu sebagai persediaan kepada mereka untuk memasuki alam pekerjaan selepas dibebaskan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, berkata pendekatan itu bertujuan memastikan prospek memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan industri selain mempunyai sumber pendapatan.
Beliau berkata, setakat ini lebih 430 syarikat telah bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia bagi menyediakan latihan serta peluang pekerjaan kepada prospek yang terpilih.
“Program TVET ini telah mendapat penyertaan seramai 180 prospek pada 2024, meningkat kepada 234 prospek pada 2025, manakala seramai 55 prospek mengikuti latihan TVET pembinaan sehingga Jun 2026. Secara keseluruhannya, seramai 473 prospek telah menyertai program ini.
“Jabatan Penjara yakin pelaksanaan latihan TVET yang disokong pihak industri mampu memperkukuh proses pemulihan prospek, meningkatkan kebolehpasaran serta membuka peluang ekonomi apabila mereka kembali kepada masyarakat,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai pertimbangan kerajaan melaksanakan program TVET atau latihan pekerjaan dalam sektor pembinaan kepada banduan yang berada di peringkat akhir pemenjaraan.
Shamsul Anuar berkata, berdasarkan rekod Jabatan Penjara, hampir 100 peratus prospek yang mengikuti program berkenaan berjaya menerima tawaran pekerjaan selepas tamat menjalani hukuman.