SEMPORNA, 5 Julai - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus perkukuh perspektif positif dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keselamatan Kawasan Pantai Timur Sabah.
Menerusi Program Tinjauan Keselamatan ESS Zone bersama Perwakilan Asing bagi tahun 2025, ia menunjukkan usaha bersepadu pihak berkuasa Malaysia dalam menjamin keselamatan pelancong, komuniti setempat dan kepentingan negara.
Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau menegaskan, keberadaan pasukan keselamatan Malaysia di kawasan itu berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi, dengan gabungan PDRM, ATM, dan APMM melalui perlaksanaan OP SANGGAH.
Sejak operasi berkenaan dilaksanakan, tiada sebarang insiden penculikan berlaku dari 15 Januari 2020 sehingga kini.
Dalam program itu, Datuk Seri Saifuddin bersama wakil diplomatik dan perwakilan telah melawat Pulau Omadal, Pulau Sibuan, Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mataking.
Beliau turut berkesempatan mendekati masyarakat setempat, termasuk melihat budaya dan aktiviti penduduk pulau serta kepelbagaian keindahan alam semulajadi.
Seramai 15 wakil diplomatik dan perwakilan dari 10 buah negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Belgium, Ireland, Jerman, Kanada, New Zealand, Republik Rakyat China, Republik Korea dan Sepanyol turut menyertai tinjauan tersebut.