Kawalan keselamatan dipertingkat, orang ramai diingatkan berwaspada ketika balik kampung

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Kuala Lumpur, ACP Foo Chek Seng/RTM

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Orang ramai diingatkan supaya memastikan kediaman tidak kelihatan kosong ketika pulang ke kampung bagi mengelakkan menjadi sasaran penjenayah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasang CCTV dan sistem penggera; pastikan pintu dan tingkap dikunci serta jangan tinggalkan kunci atau peralatan di luar rumah.
  • Hentikan langganan sementara, minta jiran memantau, gunakan pemasa lampu dan elakkan berkongsi ketiadaan di media sosial.
  • Polis meningkatkan rondaan MPV dan URB 24 jam; gunakan aplikasi VSP, buat laporan balai dan hubungi 999 jika syak.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Kuala Lumpur, ACP Foo Chek Seng berkata, antara langkah penting ialah menghentikan langganan barangan, meminta jiran memantau rumah serta menggunakan pemasa lampu.

Beliau turut menasihatkan pemilik rumah supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera.

“Pastikan pintu dan tingkap dikunci dengan baik serta elakkan meninggalkan kunci atau peralatan di luar rumah kerana ia boleh memudahkan penjenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media hari ini.

Dari aspek digital, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkongsi status ketiadaan di media sosial.

Dalam masa sama, aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) boleh digunakan untuk memaklumkan ketiadaan kepada polis, selain membuat laporan di balai berhampiran.

Polis turut meningkatkan rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) secara 24 jam, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

Orang ramai juga diminta segera menghubungi polis atau talian 999 jika mengesan sebarang aktiviti mencurigakan, selain berwaspada terhadap penipuan scam sepanjang musim perayaan.