SELANGOR, 27 September- UDA Holdings Berhad (UDA) syarikat terkemuka dalam pembangunan hartanah dan pengurusan aset, menyasarkan hasil jualan sebanyak RM112.5 juta menerusi Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd Salem Kailany berkata sasaran itu merangkumi sasaran hasil jualan hartanah sebanyak RM110 juta dan RM2.5 juta bagi nilai jualan usahawan UDA.
"Sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, penganjuran karnival ini menyokong perkembangan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui Program Insentif Usahawan UDA (PIUU) yang menawarkan insentif sewaan gerai jualan kepada para usahawan.
"UDA turut membantu usahawan melalui Program Pemerkasaan Usahawan merangkumi sokongan dalam penjenamaan produk atau perkhidmatan serta menawarkan insentif pengiklanan digital menggunakan teknologi skrin hijau," katanya pada Majlis Perasmian Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang hari ini.
Karnival yang berlangsung pada 10 pagi hingga 10 malam di Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras itu dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Mohd Salem berkata bagi mempromosikan produk berkualiti dan bernilai tinggi, UDA turut melancarkan kempen jualan ‘Jimat Super Deals’ yang menawarkan pelan pemilikan mudah, yuran guaman percuma untuk perjanjian jual beli dan bayaran pendahuluan rendah bagi pembeli hartanah UDA.
Pada karnival berkenaan beberapa projek hartanah diketengahkan antaranya Taman Kuala Terengganu Golf Resort di Kuala Terengganu, Terengganu; Pelindung Heights di Kuantan, Pahang; Areca Terrace dan UDA Heights di Johor Bahru serta Sedili Residensi di Kota Tinggi, Johor; Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin di Alor Setar, Kedah, Crescent Dew Commercial di Kepala Batas, Wakaf Seetee Aisah 2 di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Taman Sena Permai di Kangar, Perlis.
Sementara itu, Ewon berkata UDA komited dalam melaksanakan pembangunan hartanah komersial dan kediaman termasuk mampu milik di Lembah Klang serta di wilayah tengah Malaysia dan inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha dalam meningkatkan pemilikan hartanah terutamanya bumiputera di kawasan bandar.
“Kementerian sentiasa menyokong hasrat UDA memperbanyakkan lagi pembangunan hartanah komersial juga kediaman termasuklah pembangunan rumah mampu milik terutamanya di kawasan bandar agar dapat membantu meningkatkan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan bumiputera di kawasan bandar,” katanya.
Ewon berkata UDA kini sedang membangunkan 494 unit rumah mampu milik iaitu Residensi Akasia Jubilee di atas tanah seluas 1.98 hektar di Kuala Lumpur.
“Projek pembangunan ini dilakukan di lokasi strategik dengan akses mudah serta kemudahan infrastruktur berdekatan, dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan. Pembangunan rumah mampu milik tersebut dapat membuka lebih peluang kepada semua generasi untuk memiliki hartanah kediaman,” katanya.
Penganjuran Karnival UDA 2024 yang memasuki tahun ketiga penganjurannya dan siri kedua tahun ini selepas pertama di Pulau Pinang, disertai 170 usahawan PMKS dan menjadi platform menyalurkan maklumat produk hartanah UDA selain turut menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan kepada pelanggan.
Karnival itu turut mengadakan aktiviti 'Karnival UDA Fun Run’ dan hasil kutipan yuran penyertaan akan disalurkan kepada empat buah sekolah di sekitar Bandar Tun Hussein Onn.- BERNAMA