Karnival Jualan Agro MADANI sasar 25,000 pengunjung

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin merasmikan Karnival Jualan Agro MADANI di Pasar Tani Kekal Putrajaya, hari ini

PUTRAJAYA, 6 Februari– Karnival Jualan Agro MADANI yang berlangsung selama tiga hari mulai 6 hingga 8 Februari ini, menyasarkan kehadiran seramai 25,000 pengunjung dengan unjuran nilai jualan mencecah RM500,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Karnival tiga hari sasar 25,000 pengunjung dan unjuran jualan RM500,000 untuk bantu pengguna dan pengusaha tani.
  • FAMA komited perluaskan Karnival Jualan Agro MADANI ke seluruh negara demi keterjaminan makanan mampan dan inklusif.
  • Acara di Pasar Tani Kekal Putrajaya perkukuh peranan pasar tani sebagai hab pemasaran agro dan kesedaran rantaian bekalan.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata penganjuran karnival tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membantu rakyat termasuk pembeli serta pengusaha pertanian.

Jelas beliau, kementeriannya melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) komited akan terus memperluas pelaksanaan Karnival Jualan Agro MADANI ke seluruh negara sebagai usaha memastikan aspek keterjaminan makanan negara kekal mampan dan inklusif.

“Penganjuran program ini bertujuan membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup dengan menyediakan barangan keperluan harian, khususnya barangan segar yang dibekalkan terus oleh petani dan usahawan tani kepada pengguna,” kata Datuk Chann Foong Hin kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program berkenaan, di sini.

Pemilihan Pasar Tani Kekal Putrajaya sebagai lokasi penganjuran dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh peranan pasar tani sebagai hab pemasaran agro setempat, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap rantaian bekalan makanan negara.

Selain menawarkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah berbanding pasaran, karnival itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan termasuk demonstrasi masakan, jualan buah-buahan dan florikultur, persembahan artis tempatan serta aktiviti kanak-kanak.