
MIRI, 25 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Miri menahan sebuah kapal nelayan tempatan di perairan Kuala Baram pada Jumaat kerana melanggar syarat lesen dan peraturan imigresen.
- Dua warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan sah, kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/1963.
- Kapal dikesan menggunakan nakhoda tidak berdaftar, melanggar Akta Perikanan 1985.
- Kapal ditahan dan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Pulau Melayu untuk siasatan lanjut; Maritim Malaysia memperketat penguatkuasaan.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad dalam kenyataan memaklumkan, kapal tersebut dikendalikan empat kru terdiri daripada dua warga tempatan dan dua warga Indonesia berusia antara 25 hingga 66 tahun.
“Warga asing itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.
“Selain itu, kapal berkenaan turut dikesan menggunakan nakhoda yang tidak berdaftar, yang merupakan pelanggaran terhadap Akta Perikanan 1985,” menurut kenyataan itu.
Kapal berkenaan telah ditahan sebelum dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Pulau Melayu bagi tujuan siasatan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memperketat penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.